Latihan Ramadhan - Mengurus Marah
1. Bukan puasa kerana tiada makanan. Tetapi puasa kerana melatih diri untuk terkawal. Tidak makan di depan makanan, kerana Tuhan. Bukan bertahan dari membalas kerana lemah dan berjiwa pondan. Tetapi belajar untuk memilih tindakan.
2. Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidak setujuan… ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.
3. Rasulullah SAW pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan sahabat mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab marah itu emosi. Bila kita emosional, kita tidak rasional. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada penyesalan atas apa yang kamu lakukan”
(Al-Hujurat : 6)
4. Bagaimana mahu menyiasat? Bagaimana mahu bertindak dengan tepat? Andai terlalu mudah melenting dan sentiasa membalas berita dengan tindakan tanpa usul periksa.
Inilah yang diajar oleh Ramadhan. Mengajar Muslim untuk kembali mampu mengawal diri. Tidak mudah teransang. Tidak terburu-buru mengambil tindakan. Khusus bagi pendakwah yang memperjuangkan Islam. Tugas kita bukan mencegah kemungkaran semata, tetapi harus berusaha mengubah suasana.
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tanganmu..."
5. Apa yang dituntut bukan hanya menyatakan ketidak setujuan dan penentangan, tetapi harus berusaha mengubahnya. Sirah mengajar kita bahawa jarang benar perubahan dapat dilakukan jika kita hanya tahu marah dan menunding salah.
6. Tetapi Baginda SAW itu gagah… gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah. Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah. “Biar dia habiskan urusannya!”, kata Baginda tenang. Lantas Baginda SAW meminta air dan sendiri membersihkannya. Itulah jiwa kuat yang tulen.
Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!
7. Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda SAW mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah. Jangan pesimis, Covey menyebutnya sebagai PROAKTIF.
Inilah latihan puasa. Ramadhan datang dengan pakej latihan untuk mengajar kita cara mengawal diri.
Diambil sepenuhnya dari saifulislam. com (disusun kembali)
Ramadhan Mubarak…semoga Ibadah puasa kita tahun ini lebih bermakna serta kita semua menjadi hambaNya yang bertaqwa. Amin
Kak Ina thanks for sharing...Salam Ramadhan..semoga ibadah kita diterima dan mendapat keberkatan dariNya...InsyaAllah..:)
ReplyDeleteUmi Sufira
ReplyDelete^-^