Tazkirah # 1
TUNTUTAN HARGA DARI 360 SENDI MANUSIA
Dari Saidatina Aishah katanya , Rasulullah S.A.W telah bersabda :
Dijadikan manusia ini diatas 360 sendi, oleh yang demikian mana2 orang yang bertakbir dengan Allah, bertasbih kepada Allah, berzikir kepada Allah, minta ampun daripada Allah dan membuang ranting atau duri2 di jalanan, mereka menyeru yang makruf dan juga melarang yang mungkar, bererti orang itu berusaha untuk dirinya menjauh dari api neraka. ( Hadis Riwayat Muslim )
Demikianlah sabda Junjungan yang menyatakan tentang kejadian manusia yang mengandungi 360 sendi, di mana setiap sendi itu Allah menghendaki dikenakan cukai. Sedekah dan zikir kepada Allah adalah cukai sendi itu. Jika tidak dengan sedekah maka Allah menghendaki agar kita bertakbir dengan Allah, bertahmid, beristigfar, bertasbih. Dengan demikian harga sendi yang Allah SWT ciptakan itu tidak semestinya dibayar dengan wang ringgit yang disedekahkan, tetapi juga dengan sentiasa mengigati Allah taala.
Dengan menyebut nama Allah itu bererti mengekalkan ingatan makhluk terhadap kaliknya, sebagai tanda syukur kerana dengan sendi yang berjumlah 360 ruas itu membolehkan manusia bergerak dengan sempurna, melangkah dengan teratur, menghayun tangan bagi mengimbangi langkah, menoleh kekanan dan kekiri, menggerakkan jari bagi melakukan sebarang pekerjaan yang ringan dan berat, malah seribu satu macam pergerakan yang kesemuanya merupakan nikmat yang tidak terhingga
Cuba kita bayangkan jika manusia diciptakan tanpa sendi, sudah pasti sukar untuk melakukan pergerakan, segala yang hendak dibuat sentiasa terbatas. Tanpa sendi manusia seperti pohon kayu atau benda2 kaku yang tidak lagi dikatakan sebagai sebaik-baik kejadian. Harga yang Allah kehendaki itu adalah mampu dibayar atau dilaksanakan oleh manusia, bersedekah sama ada yang wajib atau sedekah sunat adalah mampu dilakukan, kerana rezeki yang Allah kurniakan kepada manusia adalah memudahkan kerja2 sedekah itu.
Bagaimanapun harga kepada setiap sendi itu masih ada lagi yang lebih mudah, iaitu mengigati Allah dengan takbir, tahmid istigfar dan juga tasbih. Mengigati Allah itu boleh dilakukan di mana saja dan setiap ketika, ia dilakukan tanpa menganggu pekerjaan seorang, sama ada sebagai petani, nelayan, saudagar, pentadbir dan seumpamanya.
Megigati Allah bukan semata-mata dibibir, tetapi zikir atau mengigati Allah yang sebenarnya ialah didasar hati, pastilah bahawa kerja hati itu tidak siapapun yang boleh menghalang. Paling penting dengan pengertian zikir atau mengigat Allah SWT ialah segala perlakuan hidup ini kesemuanya dalam lunas ketaatan, dikawal dengan syariat. Sesungguhnya segala maksiat dan sifat engkar itu terjadi apabila manusia lupa kepada Allah SWT
Selain itu apabila seseorang itu sentiasa bertakbir membesarkan Allah, maka akhirnya manusia akan sentiasa menyedari kekerdilan diri, merasa diri dhaif dan tidak berdaya upaya, malainkan dengan pertolongan Allah yang telah melengkapkan penciptaan-Nya dengan 360 sendi dan lain-lain anggota yang berharga.
Ketika manusia memuji Allah maka sedarlah dia bahawa sebanyak mana budi yang pernah diterima dari manusia, maka budi Allah dengan berbagai nikmat yang dikurniakan tiada bandingan. Nikmat yang paling besar ialah apabila manusia dikurniakan islam dan iman, dikirimkan para rasul untuk membimbing dan mentarbiah manusia, yang membimbing manusia ke jalan yang selamat menuju akhirat.
Comments
Post a Comment